top of page

"Pengalaman Menerima Notis Kebankrapan pada Usia 32 Tahun"

Updated: 6 days ago


"Siapa yang tak impikan rumah sendiri, kan?"

Lebih-lebih lagi bila tengok orang lain berjaya beli rumah pada usia muda, pasti timbul rasa kagum dan keinginan untuk mencapai perkara yang sama dengan lebih bersemangat.


Namun, membeli rumah bukanlah semudah yang disangka. Jika tersilap langkah, diri sendiri yang akan menanggung akibatnya. Bagi sesetengah orang, memiliki 10% wang pendahuluan seperti yang ditetapkan oleh bank sudah dianggap mencukupi untuk membeli rumah.


Tapi realitinya, banyak perkara yang perlu dipertimbangkan sebelum membuat keputusan besar ini. Jika tersalah langkah, kebankrapan boleh menjadi realiti!

Inilah kisah Sakinah, seorang wanita berusia 32 tahun yang hampir muflis akibat keputusan terburu-buru tanpa perancangan rapi. Lebih parah, tekanan kewangan yang melampau pernah membuatkan dia terfikir untuk menamatkan riwayat hidupnya sendiri.


Sakinah membeli rumah pertamanya pada usia 21 tahun – sebuah pangsapuri mampu milik. Ketika itu, dia mengaku tidak berfikir panjang dan membuat keputusan dalam keadaan tergesa-gesa.


Selepas menamatkan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sakinah tidak melanjutkan pelajaran tetapi terus bekerja dalam bidang jualan dan pemasaran. Dua tahun dalam kerjayanya, dia mendapat kenaikan pangkat, berjaya mencapai sasaran jualan dan memperoleh pendapatan empat hingga lima angka setiap bulan.


Dalam masa yang sama, Sakinah turut mengusahakan perniagaan sendiri. Jadi, apabila seseorang menawarkan peluang untuk membeli rumah, dia terus bersetuju tanpa banyak berfikir, yakin bahawa dia mampu menguruskan kewangannya dengan baik di masa hadapan. Tambahan pula, pada usia 21 tahun, dia sudah berjaya menyimpan wang untuk bayaran pendahuluan rumah.


Ketika itu juga, Sakinah membeli sebuah kereta Honda berharga tinggi. Untuk seorang anak muda awal 20-an, kehidupan Sakinah kelihatan begitu sempurna. Namun, sikap borosnya menyebabkan dia berbelanja tanpa had, seolah-olah tiada hari esok. Simpanan untuk kecemasan langsung tidak diutamakan.


Tapi bak kata pepatah, panas yang disangka hingga ke petang, rupanya hujan di tengah hari. Kontrak kerja Sakinah dengan syarikatnya tidak dapat diperbaharui kerana masalah kewangan yang dihadapi oleh majikan. Pada mulanya, Sakinah masih bersikap positif kerana dia masih mempunyai perniagaan sendiri. Namun, sekali lagi dia diuji apabila perniagaannya tidak berjalan seperti yang diharapkan…


Sakinah terduduk, memikirkan bagaimana dia boleh menguruskan komitmen kewangannya yang semakin menimbun.

Pinjaman kereta, bayaran rumah, dan hutang kad kredit terus menghimpitnya. Lebih membimbangkan, tahap pendidikannya yang tidak tinggi menyukarkan dia mendapatkan pekerjaan dengan gaji setanding pendapatan lamanya.


Sakinah cuba bekerja di beberapa syarikat dalam bidang jualan, tetapi komisen yang diterima tidak sebanyak dulu. Namun, demi meneruskan kehidupan, Sakinah tetap bekerja meskipun pendapatannya semakin merosot.


Menurut Sakinah, detik hitam dalam hidupnya bermula apabila dia tidak dapat mengeluarkan gaji dari akaun banknya. Beberapa hari kemudian, dia menerima surat rujukan ke Jabatan Insolvensi.


Sakinah menerima notis kebankrapan dari Jabatan Insolvensi berjumlah RM113,000 akibat kegagalan membayar hutang tertunggak. Rekod CCRIS dan CTOS Sakinah juga berada dalam keadaan buruk kerana tunggakan kad kredit mencecah RM15,700.


Semuanya berpunca daripada kontrak kerja yang tidak diperbaharui, menyebabkan dia gagal membayar ansuran bulanan seperti biasa. Sakinah menyangka bahawa berdiam diri kerana takut tidak mampu melunaskan hutang adalah langkah yang selamat. Namun, tanggapan itu hanya memburukkan lagi keadaannya.


Bagaimana Sakinah akan keluar dari krisis kewangan yang dihadapinya?

Dia hanya mempunyai dua pilihan – sama ada membayar atau diisytiharkan muflis!

Adakah Sakinah akan membiarkan dirinya jatuh muflis pada usia 32 tahun?


Baca sambungan kisah ini dalam Bahagian 2!

Comentários


bottom of page